"Aku bukan siapa-siapa. Aku tahu kita bagai enggang dan pipit. Tidak sepadan untuk menjalin sebarang perhubungan," anak kampung itu lantas menundukkan kepala. Redup pandangan matanya.
"Aku kecewa apabila mendapat tawaran untuk bergandingan dengan kau. Bukankah selama ini kau hanya layak disatukan dengan Si Merah?" Mana perginya Si Merah yang kononnya setia kepada kau?" Anak kacukan tersebut menyatakan ketidakpuasan hatinya. Angkuh sungguh nada suaranya. Anak kampung di hadapannya itu diperhatikan dengan penuh rasa benci. Baginya, dirinya yang terkenal seantero dunia tiada tara dengan anak kampung hingusan itu.
Tiba-tiba Si Merah muncul entah dari mana. Memang diakui bahawa Si Merah seorang yang berpewatakan bengis, namun dia mendapat tempat di hati peminat-peminat di seluruh Asia Tenggara.
"Lekor, mengapa kamu bermuram durja? Maniskanlah rupamu dengan senyuman. Bukankah kita bertiga bakal bekerjasama kelak?" Si Merah seperti dapat menangkap maksud ekspresi wajah Lekor. Mereka sudah lama bersahabat baik. Cuma kali ini, mereka akan menerima sahabat baru di dalam persahabatan mereka.
"Ah, kamu lupa akanku, Sos Cili. Bukan kita bertiga, tetapi berempat. Tidakkah kamu menyedari akan kehadiranku di sisi Lekor sebelum ini?"
"Ya, Lada Hitam yang menyimpang akidahnya," sinis kata-katanya. Anak kacukan yang sombong itu menyampuk kerana suara yang bergema tadi telah menambahkan lagi amarahnya. Budak kampung tidak layak berkawan dengan budak bandar. Itu pendiriannya.
Lekor, Sos Cili dan Lada Hitam hanya saling berpandangan . Mereka enggan berbalah kerana ada tanggungjawab yang harus dipikul ketika ini. Tidak berapa lama selepas itu, saya dan rakan-rakan berdiri di hadapan mereka. Tanpa disedari, anak kacukan itu menggigil ketakutan tatkala saya merenungnya penuh makna. Lekor dan Lada Hitam pula sudah tidak sabar untuk berenang-renang di dalam lautan buatan Sos Cili.
"Kak, keropok lekor 'black pepper cheesy mayo medium'!" Tanpa membuang masa, saya lantas membuat pesanan. Setelah wang berganti tangan, saya menyambar menu istimewa tersebut dengan senang hati. Saya tidak menyangka bahawa keropok lekor enak dicicah bersama kombinasi mayonis keju, lada hitam dan sos cili.
(keropok lekor lada hitam 'cheesy mayo' yang boleh didapati di 'kiosk'
Leko-Leko di Plaza Metro kajang dengan harga serendah RM 2.70)
Tidak rugi rasanya mencuba sesuatu yang baru waima kita tidak pasti akan hasilnya kerana tidak semua perkara yang baru itu mendatangkan keburukan. Hidup ini tidak akan indah sekiranya kita terikat kepada hal-hal yang konvensional tanpa menghiraukan erti pembaharuan yang bermaksud untuk menceriakan kehidupan itu sendiri. Tepuk dada tanya selera. Anda pula bagaimana?
No comments:
Post a Comment