Wednesday, October 26, 2011

Nikmat Kita Dan Mereka

Anak ini menghisap batu
dengan harapan dapat merasa walau setitis air.
Jari runcingnya kejap menggenggam
enggan melepaskan
rezeki di tangan.
Tatkala si ibu sedang menyiapkan roti canai,
mereka melihat satu lagi kematian.
Si kecil yang malang
dihurung ribuan kapal terbang.
Pesta bangkai bermula lagi.
Anak ini tidak mengetahui.
Bagi si ibu,
roti canai itu membawa seribu erti.
Tidak lama lagi,
mereka jua bakal menjadi seperti si kecil tadi.
Kembali kepada tanah,
sumber roti canai yang dijamah.

video


Fikirkanlah wahai teman
segala lebihan makanan
yang kau sering tinggalkan.
Mana perginya kesedaran sivikmu?
Sudah hilangkah rasa bersyukurmu?
Kalian mengatakan,
“tidak cukup wang makan.”
Namun pinggan penuh pula, bukan?
Sisa makanan usah dibimbang
tong sampah setia menumpangkan.
Tidak menghargai nikmat yang ada.
Tidak khuatir ia ditarik begitu sahaja.
Pejamkanlah mata,
tajamkanlah minda.
Jangkaui kehidupan mereka di luar sana.
Sucikanlah jiwamu,
ingat pada Yang Esa.
Mudah-mudahan hatimu akan terbuka
untuk mengingati mereka.



                                         
Diana Jopes

Tuesday, October 25, 2011

Simbolik Mi Segera

            Entri kali ini bukan untuk mempersoalkan tindakan mana-mana pihak. Segala yang tersurat dan tersirat di sini hanyalah tempias nukilan perasaan insan kerdil ynag sedang bergelut menyiapkan kertas kerja berkenaan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Sebelum itu, saya ingin mengajak anda semua untuk mendalami signifikasi mi segera di dalam kehidupan kita.
            Kita sering disua dengan slogan popular yang berbunyi ‘mi Maggie cepat dimasak sedap dimakan’ yang telah berjaya menarik perhatian para pengguna terutamanya penggemar mi segera. Sedarsawarsa ini, manusia mendambakan sesuatu dengan kadar segera bagi mengejar kehidupan yang semakin dilambakkan dengan persaingan. Makanan segera, skim cepat kaya, urusan seharian, malah skim pekerjaan atas talian yang menjanjikan pendapatan lumanyan dalam masa yang singkat turut membanjiri kehidupan kita kini.
            Berbalik kepada mi segera sebagai simbol perbincangan, saya mendapati keenakan mi segera yang dalam masa yang sama turut memberi impak negatif terhadap kesihatan si pemakan boleh digambarkan sebagai ‘situational irony’ dalam masyarakat kita. Sistem pendidikan di Malaysia contohnya mengharapkan generasi muda celik Bahasa Inggeris dengan mengaplikasikan bahasa kolonis tersebut sebagai medium pengajaran Matematik dan Sains di sekolah.


            Usaha murni ini sememangnya merupakan langkah awal ke arah melahirkan bangsa yang berdaya saing. Ironinya, pelaksanaan drastik sistem ini gagal membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Sesetengah masyarakat kita menjulang Bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan berpaksikan kepada keistimewaan yang dimiliki sekiranya mampu menguasai bahasa tersebut dengan baik. Namun begitu, masih ada segelintir individu yang belum mengecapi matlamat sebenar sistem pendidikan ini sehingga kita terpaksa mengubah semula medium perantaraan Matematik dan Sains kepada bahasa ibunda. Persis mi segera; mengenyangkan namun sukar dihadam.
            Semasa menyiapkan kertas kerja berkenaan, saya terfikir alangkah baiknya jika di awal tahun 70an dahulu sistem pendidikan kita tidak diubah sepenuhnya kepada Bahasa Melayu, tetapi tidak bermaksud untuk terus melupakan dan mengabaikan bahasa kebangsaan tersebut. Mungkin pendekatan di dalam sistem pendidikan kita tidak akan mengalami masalah seperti sekarang.
            Walau bagaimanapun, apa-apa sahaja kemungkinan dan alasan yang terbit, kita perlu bijak menganalisa sesuatu kejadian itu melalui sudut pandangan yang berbeza-beza. Begitu juga ibaratnya dengan mi segera. Selain memberi kebaikan dari segi penjimatan wang dan masa, ia turut membawa keburukan yang ruwet dalam jangka masa yang panjang.
            




Monday, October 24, 2011

Kolaborasi Orang Kampung dan Orang Bandar

          "Siapa kau?" bentak anak kacukan itu.

          "Aku bukan siapa-siapa. Aku tahu kita bagai enggang dan pipit. Tidak sepadan untuk menjalin sebarang perhubungan," anak kampung itu lantas menundukkan kepala. Redup pandangan matanya.

          "Aku kecewa apabila mendapat tawaran untuk bergandingan dengan kau. Bukankah selama ini kau hanya layak disatukan dengan Si Merah?" Mana perginya Si Merah yang kononnya setia kepada kau?" Anak kacukan tersebut menyatakan ketidakpuasan hatinya. Angkuh sungguh nada suaranya. Anak kampung di hadapannya itu diperhatikan dengan penuh rasa benci. Baginya, dirinya yang terkenal seantero dunia tiada tara dengan anak kampung hingusan itu. 

          Tiba-tiba Si Merah muncul entah dari mana. Memang diakui bahawa Si Merah seorang yang berpewatakan bengis, namun dia mendapat tempat di hati peminat-peminat di seluruh Asia Tenggara.

          "Lekor, mengapa kamu bermuram durja? Maniskanlah rupamu dengan senyuman. Bukankah kita bertiga bakal bekerjasama kelak?" Si Merah seperti dapat menangkap maksud  ekspresi wajah Lekor. Mereka sudah lama bersahabat baik. Cuma kali ini, mereka akan menerima sahabat baru di dalam persahabatan mereka.

          "Ah, kamu lupa akanku, Sos Cili. Bukan kita bertiga, tetapi berempat. Tidakkah kamu menyedari akan kehadiranku di sisi Lekor sebelum ini?"

          "Ya, Lada Hitam yang menyimpang akidahnya," sinis kata-katanya. Anak kacukan yang sombong itu menyampuk kerana suara yang bergema tadi telah menambahkan lagi amarahnya. Budak kampung tidak layak berkawan dengan budak bandar. Itu pendiriannya.

          Lekor, Sos Cili dan Lada Hitam hanya saling berpandangan . Mereka enggan berbalah kerana ada tanggungjawab yang harus dipikul ketika ini. Tidak berapa lama selepas itu, saya dan rakan-rakan berdiri di hadapan mereka. Tanpa disedari, anak kacukan itu menggigil ketakutan tatkala saya merenungnya penuh makna. Lekor dan Lada Hitam pula sudah tidak sabar untuk berenang-renang di dalam lautan buatan Sos Cili.

          "Kak, keropok lekor 'black pepper cheesy mayo medium'!" Tanpa membuang masa, saya lantas membuat pesanan. Setelah wang berganti tangan, saya menyambar menu istimewa tersebut dengan senang hati. Saya tidak menyangka bahawa keropok lekor enak dicicah bersama kombinasi mayonis keju, lada hitam dan sos cili.
(keropok lekor lada hitam 'cheesy mayo' yang boleh didapati di 'kiosk' 
Leko-Leko di Plaza Metro kajang dengan harga serendah RM 2.70)


          Tidak rugi rasanya mencuba sesuatu yang baru waima kita tidak pasti akan hasilnya kerana tidak semua perkara yang baru itu mendatangkan keburukan. Hidup ini tidak akan indah sekiranya kita terikat kepada hal-hal yang konvensional tanpa menghiraukan erti pembaharuan yang bermaksud untuk menceriakan kehidupan itu sendiri. Tepuk dada tanya selera. Anda pula bagaimana?

Ulangtahun Terindah

          Kau tidak pernah menyangka akan kehadiran kau di dunia ini. Semasa kecil, Kau sering meminta itu ini. Tidak terlintas di fikiran bahawa Kau telah menyusahkan abah dan mak. Apa yang Kau tahu? Kau masih kecil. Genap setahun Kau menjadi ahli baru dalam keluarga ulang tahun kelahiran Kau disambut penuh meriah. Apa yang Kau ingat? Kau hanya tahu bermain apabila gembira dan menangis apabila permintaan Kau tidak dipenuhi. Tahun-tahun berikutnya Kau tidak pernah terlepas peluang untuk diraikan tepat pada waktunya. Hadiah-hadiah yang diterima Kau simpan sebagai koleksi sehingga penuh satu almari. Sehingga mencapai usia 22 tahun, Kau masih berpeluang untuk menghitung kalendar usia apabila ulang tahun kelahiran Kau tidak pernah dilupakan oleh insan-insan yang sungguh penyayang.
          Tatkala Kau merasakan tahun 2011 merupakan tahun ketiga untuk Kau bersedih kerana tidak diraikan oleh keluarga tercinta dengan kek, nyanyian selamat hari jadi serta tiupan lilin yang membawa bersama lafaz azam, Kau terkedu apabila ada insan yang meraikan Kau tepat pada tanggal 13 Oktober sebagaimana abah dan mak sering lakukan. Aku tahu Kau mahu menangis tetapi Kau pendamkan. Aku tahu kau mahu sahaja memeluk erat insan itu, namun Kau bataskan perilaku di tengah-tengah khalayak ketika itu. Aku juga tahu bahawa Kau telah jatuh cinta kepadanya walhal Kau baru mengenalinya. Aku akui dia memang pantas disayangi kerana dia telah memberi sentuhan yang cukup bermakna di dalam kehidupan insan lain. Sudah tentu Kau tidak akan melupakannya bukan?
          Keesokan harinya pula, Kau bersuka-ria bersama adik dan teman-teman tersayang dengan makanan yang disumbangkan oleh hamba-hamba Allah yang murah hati. Kau diberikan kek lapis "chocolate crepe" yang diidam-idamkan selama ini.
          Aku dapat mendengar degupan jantungmu yang maha kuat menghentak dada. Pasti Kau sedang bertarung menahan sebak dan perasaan terkejut. Hari-harimu pula dihiasai dengan kisah-kisah mualaf di seluruh dunia yang Kau hayati daripada buku pemberian seorang rakan. Malammu indah dengan patung ikan lumba-lumba pemberian adik tercinta. Hadiah daripada teman lain yang berupa baju, menjadikannya satu-satu baju berwarna merah jambu yang Kau pernah miliki. Merah jambu salah satu warna kegemaran Rasulullah katanya. Perkara baru yang Kau pelajari.
          Dua tahun setengah di universiti, Kau dikelilingi individu-individu yang baik hati. Kotak kehidupan seharianmu dipenuhi warna-warni dan kemanisan silaturrahim sesama insan.
Oleh itu, Kau hargailah orang-orang yang Kau kasihi selagi mereka masih hidup. Belajarlah untuk menyayangi orang lain seandainya Kau mahu disayangi.




Yang menyayangimu,
       -AKU-

Sunday, October 2, 2011

Dari Jerman ke Malaysia

Seraya menjejakkan kaki ke bumi suci UKM, saya menapak keluar perlahan dari perut Kereta Api Tanah Melayu. Perjalanan yang ditempuh dari stesen Bandar Tasik Selatan memakan masa hampir 35 minit setelah melalui dua jeda. Perut yang kosong sedari tadi meraung-raung minta diisi. Mujurlah tidak jauh dari perhentian bas zon 6 terdapat gerai yang menjual minuman serta kuih-muih. Lantas saya berhenti betul-betul di hadapan gerai seorang ustaz dan membeli air soya gula merah kegemaran saya. Kemudian, saya terpanggil untuk membeli ‘burger’ benjo keju di gerai yang bersebelahan.

Terdetik di hati saya, dari manakah asalnya ‘burger’? Dewasa ini, gerai menjual ‘burger’ tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Selama ini saya tidak pernah terfikir untuk mengetahui tentang negara asal makanan ini sehinggalah secara kebetulannya saya memiliki tugasan kursus yang bertemakan makanan. Setelah menyusahkan Encik Google dengan mengajukan pelbagai pertanyaan, akhirnya saya menemui sinar jawapan.
‘Burger’ merupakan makanan yang berasal dari Hamburg, Jerman. Ia adalah singkatan daripada perkataan ‘hamburger’ yang bermaksud daging lembu seperti yang banyak dipelihara di sekitar pelabuhan Hamburg. Namun begitu, variasi ‘burger’ yang sedia ada kini merupakan resepi ciptaan dari Amerika Syarikat dan idea-idea tersebut menular dengan cepat ke seluruh dunia. 


* Bagi penggemar 'burger' yang tinggal berhampiran UKM, saya sarankan datanglah ke gerai 'burger' di stesen KTM UKM kerana di samping harga yang ditawarkan berpatutan, air tangan penjualnya juga sungguh sedap. Selamat mencuba!

Buah Hatiku Sambal Belacan

Hati merasa senang tatkala membaca komen daripada Dr. Mawar di dalam entri yang pertama. Saya menjadi teruja untuk terus menulis di dalam blog ini biarpun saya hanya mampu melakukan satu entri sahaja dalam sehari dek kekangan waktu dalam mengejar tugasan kursus lain.

Cerita saya kali ini adalah berkenaan sambal belacan. Seraya menulis, air liur lantas merembes keluar bersama enzim amylase tatkala teringat akan keunikan rasanya. Bagi kebanyakan orang Melayu, sambal belacan memang merupakan menu kegemaran ketika menjamu selera. Malah, ada sesetengah individu yang hilang selera makan jika tiada sambal belacan dan tidak kurang juga kepada mereka yang tidak menggemari sajian ini. Bukan sahaja baunya yang tidak disukai, kepedasannya juga dibenci.
Walau bagaimanapun, pandangan mereka sangat berbeza dengan saya yang menjadikan sambal belacan sebagai rakan karib kepada nasi. Tiada sambal belacan, mati selera makan! Daripada pengamatan saya, sambal belacan di Semenanjung menggunakan belacan, cili padi, sedikit gula dan perahan limau nipis. Penyediaannya agak berbeza dengan masyarakat di Sabah dan Sarawak kerana mereka gemar menumbuk sejumlah ikan bilis bersama-sama dengan bahan-bahan asas sambal tadi.
Ada juga versi lain sambal belacan yang memasukkan bawang merah atau bawang besar cina bagi mendapatkan gabungan rasa pedas bawang dan cili. Di samping itu, saya juga pernah merasa sambal belacan yang dicampurkan dengan tempoyak seperti yang sering disajikan di kolej kediaman saya, Kolej Aminuddin Baki.
Selain dimakan bersama nasi dan juadah lain, hidangan sambal belacan turut dipelbagaikan dengan resepi nasi atau sayur goreng belacan.
         

Sungguh pun menu ini dianggap sebagai pembangkit selera, individu yang menggilainya harus waspada akan kesannya ke atas kesihatan. Makanan yang pedas tentu sahaja merupakan dalang utama kepada penyakit gastrik dan yang paling teruk ialah ulser perut. Oleh itu, kuantiti yang diambil perlulah berpada-pada andai ingin terus menikmati kesihatan yang baik dalam jangka masa panjang. 

* Jangan sampai gila sambal belacan, kesihatan terancam!