Sunday, December 4, 2011

Pudarkan yang Hitam, Corakkan yang Putih



Kita semua sedia maklum akan impak negatif terhadap kesihatan akibat pengambilan mi segera, apatah lagi jika dimakan secara berterusan. Penggunaan lilin yang disapu pada mi agar ia menjadi kenyal dan tidak putus semasa dimasak menyebabkannya sukar dihadam dan akan berada di dalam usus selama lebih kurang empat hari sebelum dihadam sepenuhnya. Perencah yang meriah dengan monosodium glutamate dan natrium klorida pula menjadi dalang kepada beberapa implikasi negatif yang lain. Oleh itu, individu yang kerap memakan mi segera tanpa mengambil kira tempoh penghadaman serta kandungan bahannya berisiko tinggi untuk membuka pintu kepada penyakit buah pinggang, kanser, keguguran rambut dan sebagainya. 


Waima fakta-fakta berkenaan kedengaran menakutkan, saya berpendapat bahawa kita tidak seharusnya membiarkannya bertindak sebagai batu sempadan untuk menghalang keinginan kita bagi menikmati semangkuk mi segera, lebih-lebih lagi tatkala poket gersang. Sesuatu kebaikan itu mungkin tersirat keburukan di sebaliknya dan apa jua kekurangan pasti boleh diperbaiki, bergantung kepada daya usaha seseorang individu.  Begitu juga keadaannya dengan mi segera. Apa salahnya jika kita letakkan sedikit sentuhan magis yang boleh menghadirkan pelbagai khasiat di dalam menu tersebut? Bawang tumis, cendawan, bebola ikan, sayur-sayuran, daging, telur dan bermacam-macam lagi bahan campuran lain layak hadir bersama di dalam pesta hidangan mi segera kita. Persoalan yang timbul hanyalah isu rajin atau malas sahaja.


Di dalam kehidupan pun, kebanyakan dalam kalangan kita terkejar-kejar sesuatu yang dilihat dapat memberi keuntungan hanya melalui penilaian luaran sahaja. Contohnya, jika mahu memohon untuk memasuki IPT, kita terlalu memilih bidang pengajian yang popular agar senang mendapat pekerjaan kelak. Namun begitu, timbul hipotesis berupa, ‘semakin ramai graduan yang memiliki kepakaran yang sama, semakin sengit persaingan untuk merebut tempat di alam pekerjaan’. Maka, apa salahnya memilih jurusan yang kurang popular sekiranya ia masih dapat menjamin masa depan yang cerah?

Contoh yang lain pula, kita dididik agar bijak memilih rakan supaya tidak terpengaruh dengan gejala yang merugikan diri sendiri. Walau bagaimanapun, saya beranggapan bahawa tidak salah andai kita berkawan dengan sampah masyarakat sekalipun, selagi kita masih boleh bersikap rasional demi menjaga perilaku yang baik. Alangkah indahnya sesuatu persahabatan andai kita boleh membimbing rakan-rakan kita yang bermasalah menuju ke lorong yang terang. Persoalannya cuma terletak antara MAHU atau TIDAK. Mampukah kita menggalas tanggungjawab sesama insan tersebut?

Pokoknya, sebagai ciptaan yang dikurniakan kelebihan akal untuk berfikir, kita diberi banyak pilihan dalam mencorakkan jalan cerita kisah masing-masing. Sedangkan mi segera yang memudaratkan kesihatan pun boleh bertukar menjadi makanan yang seimbang melalui penyediaan yang betul dan kreatif. Akhir kata...pudarkan yang hitam, corakkan yang putih.

No comments:

Post a Comment