Wednesday, September 28, 2011

Jasa Baik Ikan Buntal Masin

Minggu pertama kuliah berlalu sepi tanpa pengisian waktu dengan aktiviti akademik memandangkan jadual kuliah masih belum bermula sepenuhnya. Minggu kedua pula berjalan terhuyung-hayang ke arah minggu ketiga yang dirasakan  berlari dengan sungguh pantas. Terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan sehingga saya tiada masa yang cukup untuk berehat. Diri ini seperti bilah kipas yang berpusing-pusing mengejar tugasan yang tidak diketahui penghujungnya. Pejam celik, saudara Rabu bakal melabuhkan tirainya sebelum seisi alam bisa menikmati kehidupan dari saudara Khamis. Pada ketika ini, saya baru sahaja selesai menjamu selera dengan menu istimewa dari Betong, Sarawak.


                           
                                                              

Ikan Buntal masin nama diberi, enak disantap bersama nasi. Ikan ini nampak comel, tetapi racunnya tidak boleh dipandang ringan. Di Sarawak, ikan buntal masin merupakan antara menu yang harus dicuba jika datang ke sana. Ikan ini sememangnya beracun, namun hanya spesies buntal kuning yang boleh dimakan kerana hanya urat telur dan urat hempedunya sahaja yang beracun jika dibandingkan dengan spesies buntal lain yang mempunyai racun seluruh badan. Proses pembuangan racunnya juga mudah dan pengguna tidak perlu was-was akan kesannya.

                                           

Setelah hampir dua tahun tidak merasa menu ini, saya menjamahnya dengan penuh khusyuk. Bumi seakan-akan berhenti berputar pada paksinya. Tiba-tiba saya teringat akan sesuatu yang lebih penting daripada makan pada masa itu. Lantaran, saya segera meghabiskan makanan dan menghadap inovasi bergelar komputer riba untuk menulis blog ini. Ikan Buntal masin tadi bukan sahaja mengenyangkan, bahkan mengingatkan saya akan tugasan ini. Terima kasih kepada Dr. Mawar kerana memberi tema 'makanan' kepada tugasan penulisan blog kali ini. Sekurang-kurangnya saya tidak akan terlupa untuk memasukkan 'entry' baru selepas ini.

1 comment:

  1. Diana
    tahniah sudah ada blog. terima kasih kerana memilih kursus saya. semoga lebih banyak entri yang dapat ditulis!

    ReplyDelete