Wednesday, November 9, 2011

Si Merah dan Si Putih

                                                    

                                    

          Di dalam mana-mana masakan, baca saja apa-apa resepi, bawang merah dan putih tidak ketinggalan sebagai bahan asas masakan. Waima tampak kurang penting dek saiznya yang kecil, bahan-bahan ini merupakan sumber aroma yang mengasyikkan buat sebarang hidangan lauk-pauk. Sungguh pun kebaikan alaminya tidak begitu diambil kira, kebarangkalian untuk memasak tanpa bawang merah dan putih adalah hampir mustahil. Kepentingan bawang merah dan putih dalam masakan memberikan signifikasi yang cukup mendalam buat saya. Lantas, ruang entri ini saya manfaatkan untuk menebar jaringan idea yang dikait secara tidak sengaja di dalam kotak minda hasil daripada godaan maha hebat si merah dan si putih yang setia bermastautin di rumah bakul rotan mereka.




          Setiap perkara di dunia ini perlu ada asasnya yang tersendiri. Sebuah perniagaan harus memiliki modal yang mencukupi. Sesuatu perhubungan memerlukan semaian kasih sesama insan. Sahsiah yang terpuji adalah hasil daripada asas didikan yang sempurna. Erti kejayaan tidak akan tercapai jika melangkaui usaha sebagai rempah utamanya. Siapakah insan yang berpengetahuan tanpa guru di belakangnya? Mengapa zigot tidak bisa terbentuk tanpa kehadiran sperma dan ovum? Apa yang akan terjadi kepada manusia sejagat tanpa asas-asas keperluan seperti yang diketengahkan oleh Maslow?



           Cubalah memasak tanpa bawang merah dan bawang putih. Pasti anda akan berasa ada sesuatu yang tidak lengkap. Sesungguhnya tanpa asas, tiadalah permulaan. Tanpa permulaan, tiadalah kejadian. Mungkin anda tidak bersetuju dengan falsafah saya. Oleh itu, saya tidak menolak sekiranya jawapan anda adalah 'ya kerana asas pemikiran kita berbeza-beza.